Advertisements
Thailand Jadi Destinasi Pilihan Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Negara Thailand bakal menjadi destinasi pilihan Selangor untuk persiapan musim 2024 menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal.

“Mencari tarikh yang sesuai untuk pramusim agak mencabar dan ramai pemain Selangor FC akan terlibat dengan kem kebangsaan bagi kejohanan AFC bawah 23 tahun selama sebulan di Doha.”

“Jadi untuk dapatkan masa dimana semua pemain ada dalam skuad sebenarnya mencabar jadi kita merancang untuk melakukan pramusim sebelum puasa, InsyaAllah pada awal bulan Mac kerana saya rasa waktu itu sahaja semua 26 pemain berada di kelab sebelum terlibat dengan tugasan antarabangsa.” ujar Dr. Johan Kamal kepada Astro Arena.

Persediaan pramusim pasukan Gergasi Merah ini pastinya penting untuk musim 2024 setelah Selangor bakal beraksi di pentas Asia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Selangor menamatkan saingan Liga Super ditangga kedua pada musim lalu untuk merebut slot ke Asia sejak kali terakhir tampil pada 8 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2016.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengharungi musim 2023 dengan cemerlang apabila meraih tangga kedua liga dengan mengumpul 61 mata setelah merekodkan 20 kemenangan, 1 seri dan 5 kekalahan dalam saingan Liga Super.

Dr. Johan Kamal turut memaklumkan perancangan utama Selangor bagi tahun 2024 adalah untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan kelab dan mengekalkan kestabilan kewangan kelab tersebut.

Malah perbelanjaan Selangor pada tahun 2024 bakal meningkat sebanyak 30% ekoran tempoh perjalanan Liga Malaysia yang meningkat kepada 17 bulan bagi musim hadapan.