Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah pun mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan insiden buruk yang berlaku pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Sea 2023 yang menemukan Thailand dan Indonesia semalam.
Dalam perlawanan itu, Thailand terpaksa akur dengan kehebatan Indonesia apabila mereka tewas 2-5 kepada ‘Garuda Muda’ kendalian Indra Sjafri. Namun disebalik kekalahan itu, ada insiden pergaduhan yang berlaku di antara pemain dan staf kedua-dua pasukan.
Sedar akan insiden hitam tersebut, FAT bertindak untuk memohon maaf kepada semua penyokong Thailand di atas tindakan hodoh pegawai mereka yang terlibat. Laman Twitter, Thai League Central telah berkongsi sedikit sebanyak isi kandungan kenyataan rasmi tersebut.
“FA Thai berasa kecewa dan memohon maaf atas adegan hodoh yang berlaku malam tadi yang telah merosakkan bola sepak Thailand. FA Thai percaya kakitangan kejurulatihan Thailand tidak sepatutnya bertindak tidak wajar dan sepatutnya kekal tenang di bawah tekanan,” kongsi Thai League Central.
Dalam masa yang sama, FAT akan menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat apa yang berlaku dalam perlawanan tersebut sebelum menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang terlibat.
“FA Thai telah membentuk pasukan pegawai yang akan menyiasat apa yang berlaku semasa perlawanan itu sepenuhnya bagi menghukum sesiapa yang terlibat,” kongsi laman twitter tersebut.