Skuad B-23 Thailand melaungkan amaran kepada semua pasukan dalam Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 termasuk Malaysia dengan berazam layak ke pusingan akhir kejohanan itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh jurulatih skuad Gajah Perang, Issara Sritaro. Ini kerana anak-anak buahnya telah membuat persiapan untuk pusingan kelayakan ini sejak tahun lepas.
Dibantu dengan sokongan penyokong tempatan, Thailand mahu memastikan mereka mara dengan bergaya ke pusingan Piala Asia B-23 2024.
“Pasukan kita telah bersedia untuk pusingan kelayakan ini sejak tahun lepas. Dan sudah pasti kita akan mencuba yang terbaik untuk bergelar juara kumpulan dan layak ke pusingan akhir.
“Dalam pasukan, kita tidak beri fokus kepada pemain tertentu kerana kita melihat kepada keseluruhan pasukan. Ini satu konsep di mana kita bermain bersama sebagai satu pasukan dan semua orang dalam pasukan memainkan peranan penting.
“Sebelum ini, kita telah menyertai Piala AFF B-23. Dan ada dua, tiga pemain daripada pasukan itu berada dalam senarai ini. Kita lihat kejohanan itu sebagai kejohanan berbeza.
“Pusingan ini di mana kita sebagai tuan rumah, kita mengharapkan sokongan padu penyokong. Dan kita akan lakukan yang terbaik dengan matlamat kita ialah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar tahun hadapan,” katanya dalam sidang media pra-pusingan kelayakan hari ini seperti dilaporkan SiamSport.
Selain Malaysia dan Thailand, Bangladesh dan Filipina juga berada dalam Kumpulan H. Juara kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik akan layak secara merit ke Piala Asia B-23 2024.