Thailand Tundukkan Cabaran Sengit India
MakanBola
Changsuek

Thailand berjaya mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan India dalam satu aksi persahabatan pada Rabu.

Aksi pemanas badan di Pathum Thani ini dianggap penting buat kedua-dua negara dengan Thailand dalam persiapan hadapi Turkmenistan dan India akan berdepan Hong Kong.

Kesebelasan utama Thailand kali ini diperkuat dengan muka-muka baharu antaranya Channon Tamma dan juga Korawich Tasa manakala India menurunkan penyerang lagenda, Sunnil Chhetri.

Pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama bagi berada di hadapan apabila voli separa badan oleh Ben Davies seawal minit ke-8 berjaya menewaskan penjaga gawang India, Vishal Kaith.

Seakan tersentak, India berusaha bangkit bagi memburu gol penyamaan menerusi gerakan oleh Liston Colaco dan Apuia namun percubaan demi percubaan berjaya dihalang barisan pertahanan Thailand.

Separuh masa pertama tamat, Thailand 1-0 India.

Kembali dari rehat, gawang India nampaknya bolos buat kali yang kedua setelah rembatan melengkung Poramet Arjvirai menerjah jaring ketika aksi separuh masa kedua baru 14 minit dimainkan.

Beberapa pertukaran cuba dibuat dalam usaha Thailand dan India bagi menguji barisan pemain yang dibawa kali ini selain skuad Gajah Perang tampak selesa menguasai perlawanan ini.

Aksi di Stadium Thammasat berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Thailand.

Ujian seterusnya bakal menanti kedua-dua negara untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dengan Thailand akan menentang Turkmenistan tatkala India bakal berkunjung ke laman Hong Kong pada 10 Jun ini.