FA Cup: Lindelof Wira Penalti Manchester United, Tewaskan Brighton
Eropah
Manchester United
Advertisements

Manchester United terpaksa bekerja keras menewaskan Brighton and Hove Albion menerusi penentuan sepakan penalti sebelum melayakkan diri ke final FA Cup. Ini bakal menjadikan aksi final lebih istimewa kerana mereka bakal menentang musuh setempat, Manchester City.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati untuk memburu gol pembukaan. Tetapi United lebih banyak menguji penjaga gol Seagulls, Robert Sanchez dengan lima percubaan dengan dua daripadanya berjaya ditepis.

Sementara anak-anak buah Roberto De Zerbi pula hanya membuat satu percubaan tepat ke arah gol menerusi Alexis MacAllister pada minit ketujuh tetapi dinafikan penjaga gol Red Devils, David de Gea. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Separuh masa kedua menyaksikan Brighton terus kecewa apabila percubaan Julio Enciso pada minit ke-56 dinafikan de Gea. Sementara United pula beberapa kali menguji Sanchez termasuk percubaan Antony pada minit ke-63 tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Sepanyol itu.

Dengan kedua-dua pasukan tumpul mencari gol pembukaan, perlawanan diheret ke masa tambahan. Kali terakhir aksi separuh akhir FA Cup diheret ke masa tambahan ialah pada 2019 membabitkan Watford dan Wolves.

Peluang terbaik Seagulls hadir pada minit ke-94 menerusi Denis Undav tetapi sentuhan pertamanya yang terlalu berat memudahkan pertahanan United mengeluarkan bola. Sementara Red Devils pula hampa apabila sepakan Marcus Rashford yang terkena kaki Adam Webster berjaya dinafikan Sanchez pada minit ke-105.

Advertisements

Separuh kedua masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan terus hampa dalam mendapatkan gol. Kaoru Mitoma kecewa apabila percubaannya pada minit ke-113 berjaya dipatahkan de Gea. Sementara sepakan jarak jauh Casemiro mudah ditangkap Sanchez pada minit ke-118.

Tanpa sebarang sentuhan penyudah selepas 120 minit, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Pada awalnya, kedua-dua pasukan tiada masalah menyempurnakan enam sepakan penalti.

Tetapi malang buat Brighton apabila sepakan penalti Solly March terbang melepasi palang dan ke arah penonton. Dan Victor Lindelof memastikan United layak ke final dengan sepakan penalti ketujuh sekaligus menyaksikan United mara dengan keputusan penalti 7-6.

Advertisements

Kejayaan ini memastikan pemburuan trofi berganda Red Devils masih bernyawa. Dengan kejayaan layak ke final, ten Hag boleh memburu slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Tottenham pada 28 April ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram