Arsenal Buat Leicester Menangis
EPL
AP
Advertisements

Skuad kendalian Mikel Arteta meneruskan rentak kecemerlangan selepas menewaskan Leicester City 2-0 di Stadium King Power malam tadi. Dua gol awal daripada Gabriel dan Emile Smith Rowe pada babak pertama perlawanan berjaya menghadiahkan tiga mata penuh buat Arsenal. Keputusan ini telah membantu Arsenal untuk melonjak ke tangga keenam Liga. 

Pasukan tuan rumah, Leicester City dikejutkan seawal minit kelima selepas Gabriel menanduk masuk gol selepas menerima hantaran daripada sepakan sudut pemain sensasi England, Bukayo Saka. Serangan demi serangan terus dilancarkan dan The Gunners menggandakan kedudukan menerusi Emile Smith Rowe pada minit ke-18. Anak buah Brendan Rodgers hampir merapatkan jurang melalui sepakan percuma cantik pemain tengah, James Maddison tetapi percubaan itu dinafikan penjaga gawang Arsenal, Aaron Ramsdale. 

Leicester City cuba untuk bangkit pada separuh masa kedua dengan memasukkan Harvey Barnes, Ademola Lookman dan Patson Daka. Namun, serangan bertubi-tubi yang dilancarkan tidak membuahkan hasil sehingga wisel penamat. Pujian perlu diberikan kepada penjaga gawang Arsenal, Aaron Ramsdale yang menghalang beberapa percubaan bahaya. Skuad The Foxes menghasilkan lapan percubaan tepat dan mendominasi perlawanan pada babak kedua tetapi persembahan cemerlang Aaron Ramsdale berjaya mengekang setiap serangan dan memastikan gawang gol Arsenal tidak dibocori.

Advertisements

Beberapa perkara positif buat Mikel Arteta yang sedang dalam proses membina pasukan Arsenal. Ketangkasan pemain tengah, Emile Smith Rowe boleh disifatkan sebagai tonik buat The Gunners selepas beliau berjaya menghasilkan dua jaringan gol dalam dua perlawanan. Benteng pertahanan Arsenal juga dilihat semakin disiplin dan mantap dengan kehadiran Takehiro Tomiyasu dan Nuno Tavares.

Ini merupakan kemenangan kelima Arsenal bagi musim ini selepas mengharungi permulaan yang agak mencabar dan kini berkongsi mata dengan Manchester United dan West Ham United. Leicester City yang sebelum ini membenam Brentford dan Manchester United pula berada di tangga ke-10 dengan kutipan 14 mata. 

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram