Dengan musim perpindahan Januari bakal tiba tidak lama lagi, Chelsea tahu mereka berdepan masalah di bahagian bek sayap kiri (left wingback). Ini selepas Ben Chilwell terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan ligamen krusiat anterior.
Selepas terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan menentang Juventus bulan lepas, Blues berharap bekas bek kiri Leicester itu dapat pulih tanpa perlu menjalani pembedahan. Pada awalnya, wujud harapan bahawa Chilwell akan pulih dengan pantas selepas turun menjalani latihan ringan awal bulan ini. Bagaimanapun, pemeriksaan doktor mendapati pembedahan perlu dibuat bagi memastikan kecederaan ligamen krusiat anteriornya pulih sepenuhnya.
Dengan keputusan tersebut, ini bermakna pemenang Liga Perdana Inggeris 2015/2016 itu tidak bermain lagi musim ini. Ia bukan saja memberi tamparan hebat kepada Blues tetapi kepada England juga. Ini kerana Three Lions akan mengharungi kempen Liga Negara-Negara UEFA (UEFA Nations League) pada Jun tahun hadapan. Namun begitu, Chilwell dijangka sempat pulih sebelum Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ketika ini, satu-satunya bek kiri di Stamford Bridge ialah Marcos Alonso. Bos Chelsea Thomas Tuchel sebelum ini sudah bereksperimen dengan meletakkan Callum Hudson-Odoi, Saul Niguez dan Christian Pulisic sebagai pengganti Chilwell. Tetapi kesemua mereka menunjukkan prestasi goyah bila diturunkan dalam kesebelasan utama. Justeru, bek kiri sokongan perlu dibawa masuk bagi memastikan bekas bek kiri Fiorentina itu kekal cergas sepanjang musim ini.
Chelsea boleh memilih mendapatkan bek kiri Everton, Lucas Digne yang ketika ini disisihkan oleh Rafa Benitez di Goodison Park. Blues juga boleh mensasarkan Theo Hernandez dari A.C Milan tetapi ia dianggap tidak berbaloi berikutan kos kewangan yang mahal.
Satu lagi pilihan Tuchel ialah memanggil semula bek kiri pinjaman iaitu Ian Maatsen dan Emerson Palmieri. Maatsen cemerlang bersama kelab pinjaman Coventry City musim ini. Sementara Palmieri yang kini tampil bersama Lyon muncul juara EURO 2020 bersama Itali musim panas lepas. Yang pasti, Blues harus membuat pilihan tepat bagi memastikan cabaran kejuaraan musim ini tidak terjejas.