Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji anak-anak buahnya meskipun kecundang 3-0 di tangan PDRM FC di final pertama MFL Challenge Cup 2023.
Kehadiran jurulatih berusia 46 tahun ini berjaya melonjakkan prestasi Kuching City FC sehingga beliau yakin tiada pihak yang menjangka pasukannya akan berada pada tahap ini.
”Tiada siapa sangka kami di sini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau mengakui bahawa musim ini Kuching City FC tidak begitu konsisten pada musim ini dan berharap para pemainnya dapat menjadi lebih baik.
Bekas jurulatih Persikabo 1973 itu melihat statistik pasukannya yang kurang baik di bahagian pertahanan dan perlu segera diperbaiki menjelang aksi final kedua tidak lama lagi.
Mengulas mengenai permainan pasukan kendaliannya, beliau berkata pasukannya bermain sedikit kebawah di separuh masa kedua dan mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, beliau kekal positif dengan keputusan tersebut dan berharap anak-anak buahnya dapat bermain lebih baik di laman keramat mereka nanti.
”Kita tetap positif dan berharap kami bermain dengan lebih baik di tempat kami dan memberikan segalanya yang kami ada,” ujar pengendali berasal dari Singapura tersebut.
Kedua-dua pasukan akan bertemu kembali dalam final kedua MFL Challenge Cup yang akan berlangsung pada Ahad, 3 Disember 2023 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.