Sememangnya adat dalam bola sepak apabila melihat pemain datang dan pergi. Selepas meninggalkan kelab, sudah tentu pemain-pemain ini akan berusaha untuk mendapatkan kelab bagi mengharungi musim yang mendatang.
Itu yang terjadi kepada tiga bekas pemain pertahanan import Terengganu yang difahamkan sehingga kini masih tiada kelab. Ada di antara mereka yang sudah lebih dua tahun tidak bermain bola sepak secara profesional.
i) Vincent Bikana
Pemain pertahanan ini beraksi untuk Terengganu untuk satu tempoh yang boleh dikatakan agak panjang buat seorang pemain import iaitu selama 3 musim, dari tahun 2013 sehingga 2016. Terengganu tidak menyambung kontrak Bikana untuk musim 2017.
Bikana juga pernah beraksi untuk pasukan Pilihan Malaysia di bawah kendalian Dollah Salleh ketika itu dalam satu aksi persahabatan menentang Liverpool pada tahun 2015. Perlawanan tersebut berkesudahan seri 1-1.
Selepas meninggalkan Terengganu pada tahun 2017, Bikana menyertai kelab Finland, Mikkelin. Beliau beraksi untuk kelab tersebut sehigga September 2020 sebelum dilepaskan. Sejak dari itu, beliau tidak lagi menyertai mana-mana kelab.
ii) Abdoulaye Maiga
Pemain berasal dari Mali ini pernah menyarung jersi T-Team untuk musim 2017 di bawah kendalian jurularih dari Indonesia, Rachmad Dermawan. Namun jodoh Maiga bersama T-Team tidak lama apabila kontraknya tidak disambung untuk musim 2018.
Maiga membawa diri ke Indonesia untuk menyertai Persipura pada musim 2018. Maiga dilepaskan pada Julai 2018 dan sehingga kini beliau masih belum menyertai mana-mana kelab.
iii) Babacar Diallo
Diallo hadir ke Terengganu FC pada musim 2020 yang pada ketika itu dibimbing Nafuzi Zain. Namun beliau hanya diturunkan dalam tiga perlawanan awal buat skuad ‘Sang Penyu’ sebelum terus tersisih untuk baki aksi Liga Super.
Selepas meninggalkan Terengganu pada penghujung 2020, beliau masih belum menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan sehingga kini.