Aksi Selangor dan Perak pada Ahad bakal dibanjiri ribuan penonton setelah tiket bagi perlawanan di Stadium MBPJ itu dilaporkan habis terjual.
Selangor bakal turun melayani kunjungan Perak dalam aksi keempat Liga Super pada Ahad berbekalkan momentum positif setelah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan liga selain mara ke suku akhir Piala FA.
Prestasi cemerlang ditampilkan anak-anak buah Nidzam Jamil mendorong kepada semangat luar biasa penyokong untuk turun memberikan sokongan apabila dimaklumkan tiket bagi aksi menentang Perak telah habis beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
Menerusi satu ciapan di laman X rasmi pasukan, Selangor FC mengumumkan bahawa tiket bagi aksi berdepan Perak telah habis terjual dan tidak sabar untuk berjumpa dengan para peminat The Red Giants di stadium petang nanti.
“Sekali lagi (habis terjual). Jom jadikan ini sebagai rutin penyokong Gergasi Merah! Jumpa anda semua di Stadium MBPJ dengan memakai warna Selangor FC kegemaran anda,” tulis Selangor FC di ruangan kapsyen.
Untuk rekod ini merupakan kali ketiga tiket bagi aksi melibatkan Selangor di Stadium MBPJ telah habis terjual setelah perlawanan Liga Super berdepan Kedah dan Negeri Sembilan sebelum ini juga dilaporkan habis sebelum sepak mula.
Bagi peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket, siaran langsung bagi aksi menarik di antara Selangor dan Perak ini boleh disaksikan di saluran TV Okey dan juga Sukan RTM pada jam 5.30 petang.