Kemenangan pasukan negara ketika menentang tuan rumah, Mongolia pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi lebih mencuri tumpuan apabila terdapat satu keping gambar yang tular di media sosial.
Terdapat sebuah hantaran di laman sosial yang memaparkan tindakan selepas perlawanan yang dilakukan oleh para pemain Malaysia yang menunjukkan rasa hormat terhadap lawan yang juga merupakan tuan rumah nyata berjaya meraih perhatian oleh para peminat bola sepak tempatan.
Dalam hantaran tersebut, ia memaparkan seolah-olah pemain negara memberikan tunduk hormat kepad barisan pemain dan juga kejurulatihan Mongolia yang juga bertungkus-lumus untuk memberikan yang terbaik namun rezeki memihak kepada pasukan negara yang berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Azfar Fikri.
Sungguhpun dalam perlawanan tersebut dihiasi dengan beberapa insiden yang kurang diingini termasuklah kad kuning awal yang diterima oleh penyerang negara, Luqman Hakim Samsudin dan juga beberapa kad kuning lain buat pemain negara, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat dan juga perjuangan para pemain untuk meraih tiga mata.
Malah, para pemain juga tidak terkesan dengan sebarang provokasi dan juga tekanan yang diberikan oleh para penyokong tuan rumah yang datang untuk memberikan sokongan.
Ia juga secara tidak langsung menunjukkan semangat kesukanan dan profesionalisme yang tinggi oleh para pemain yang terus mempamerkan disiplin sepanjang perlawanan berlangsung.
Para penyokong juga senang dengan tindakan pemain yang bersatu hati dan bermain bermati-matian demi lencana di dada sebelum berdepan ujian getir iaitu menentang Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.