Tindakan nakal penyerang Sri Pahang FC, Kpah Sherman terhadap pemain pertahanan Sabah FC, Dominic Tan dalam aksi Liga Super di antara kedua-dua pasukan pada Jumaat mengundang padah.
Insiden yang berlaku pada minit ke-67 permainan itu menyaksikan Kpah Sherman sedang mengejar bola dan dicabar hebat oleh pemain Sabah, Haris Stamboulidis. Kedua-duanya terjatuh dan bola dapat diselamatkan Khairul Fahmi di gawang Sabah.
Namun begitu, Kpah Sherman bertindak di luar jangkaan apabila dilihat seolah-olah telah menumbuk alat sulit Dominic Tan. Ianya membuatkan Dominic terjatuh dan mengalami kecederaan.
Tindakan Kpah itu adalah tindak balas terhadap Dominic yang menyuruh dirinya bangun semula selepas Kpah merasakan ada kekasaran terhadap dirinya.
Akibat daripada tindakan Kpah itu, beliau menerima padah apabila dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Kamil Zakaria Ismail.
Video insiden tersebut telah tular di laman Tiktok dan ianya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan.
Pada aksi semalam, Kpah meledak dua jaringan namun tidak dapat membantu Sri Pahang daripada ditewaskan Sabah yang meledak melalui Daniel Ting, Jafri Firdaus Chew dan Farhan Roslan. Aksi yang dilangsungkan di Stadium Temerloh itu menyaksikan Sabah menang dengan keputusan 3-2.