Jersi Nike 2021 ‘Home’ dan ‘Away’ Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mula dijual di JDT Online Store dan Penjual Rasmi bermula jam 11.00 pagi Khamis (25 Februari 2021) di kedai online rasmi pasukan JDT.
Jersi Nike 2021 JDT akan menyaksikan jersi ‘Away PLAYER VERSION’ dijual buat pertama kali dan pada harga yang berbaloi kerana DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan menanggung sebahagian harga jersi tersebut sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong.

Jersi ‘Away’ dipilih sebagai hadiah istimewa kerana warna jersi itu melambangkan Stadium Sultan Ibrahim bersempena ulang tahun pertama stadium itu.
Menurut penerangan di laman Facebook rasmi pasukan, harga sebenar jersi ‘Away PLAYER VERSION’ ini adalah RM429 tetapi akan dijual pada harga RM185, sama dengan harga jersi ‘Home FAN VERSION’. DYAM Tunku Ismail akan menanggung lebihan kos jualan jersi ‘Away’ yang dijual sebanyak RM244 sehelai.
Jersi ‘Away’ yang dijual merupakan versi pemain dan bukannya replika dan dengan jumlah subsidi yang ditanggung JDT, dengan harga RM185/helai merupakan satu harga yang berpatutan.