Perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih telah pun berakhir dengan menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan tersebut selepas menewaskan Terengganu FC 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Namun ada sesuatu yang pelik berlaku di sebalik perlawanan tersebut. Insiden tersebut melibatkan pemain JDT yang kini menyarung jersi Terengganu sebagai status pinjaman semusim, Liridon Krasniqi.
Sebelum perlawanan berlangsung, Liridon secara terang-terangan memberi sokongan kepada pasukan Terengganu di laman instagram rasmi beliau sedangkan Terengganu akan berhadapan pasukan yang juga majikannya iaitu JDT.

“Semoga berjaya rakan-rakan. Malangnya, saya tidak boleh bersama kalian untuk berada di atas padang malam ini (perlawanan Piala Sumbangsih). Jangan menyerah, kita mampu lakukannya,” coret Liridon.
Muatnaik di instagram story Liridon itu menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak termasuk pemilik JDT sendiri, Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang dalam masa yang sama memberi cadangan kepada Liridon.
Umum mengetahui, Liridon yang kini menyarung jersi Terengganu merupakan pemain yang dipinjamkan dari JDT dan mengikut syarat-syarat pinjaman, beliau tidak boleh diturunkan menentang majikannya, JDT.
Oleh sebab itu, sokongan Liridon kepada Terengganu dilihat tidak begitu manis memandangkan JDT yang membayar gajinya. TMJ juga membalas kepada Liridon dengan memberi cadangan agar gaji Liridon dibayar oleh rakan-rakannya di Terengganu.
Tangkap layar tersebut dikongsikan oleh laman twitter, No Context TFC. Namun begitu, komen TMJ kepada Liridon itu telah pun dipadam dari laman instragram. Untuk rekod, Liridon telah dipinjamkan ke Terengganu bagi menghadapi jadual perlawanan yang padat menanti Terengganu apabila turut bersaing dalam saingan Piala AFC musim ini.