TMJ Ulas Lebih Lanjut Mengapa Benjamin Mora Dilepaskan

Benjamin Mora 8 TMJ Ulas Lebih Lanjut Mengapa Benjamin Mora Dilepaskan
AFC

Selepas beberapa bulan pemergian Benjamin Mora sebagai pengendali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim atau TMJ membuka rahsia mengapa pengendali Mexico itu dilepaskan.

Antara sebab utama Mora dilepaskan adalah beliau tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya termasuk respon yang diterima daripada pemain juga sudah berubah.

“Saya masih rapat dengan Benjamin Mora. Dia kawan saya. Dia dah lama berbual dengan saya. Apabila dia rasa masa sudah tamat, apabila dia tidak dapat beri komitmen sepenuhnya dan respon daripada pemain adalah lain terhadap dia (Mora). Ia adalah masa yang sesuai untuk dia berhijrah.

“Kelab dan Mora telah ada persetujuan di mana kita (JDT) lepaskan (Mora) kerana kita perlukan jurulatih boleh menjaga kestabilan bilik persalinan JDT,” jelas TMJ.

TMJ juga menegaskan bilik persalinan di JDT merupakan tempat paling hangat kerana di JDT menempatkan pemain yang bergelar jutawan dan sang juara.

“Mereka dah menang bermacam-macam trofi. Jadi untuk memberikan arahan kepada pemain-pemain ini, mereka perlu ada jurulatih yang boleh berikan arahan, hormat dan juga menjaga kestabilan bilik persalinan,” luah TMJ dalam sesi soal jawab bersama peminat yang diadakan di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.