Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui bimbang dengan tahap kecergasan para pemain menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC.
Penyokong dan media di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyedari ramai pemain Penyu merasa letih semasa separuh masa kedua perlawanan Piala AFC menentang Central Coast Mariners.
Apabila perkara ini dibangkitkan Harimau Malaya kepada beliau, Steinbruckner tahu tentang hal berkenaan.
Malah, perkara itu turut dibincangkan dengan staf kejurulatihan dengan perancangan awal mereka ialah beri peluang kepada lima atau enam pemain mengisi kesebelasan utama.
Bagaimanapun, strategi tersebut diubah pada saat akhir dengan mengambil kira kepentingan Piala AFC kepada skuad Peteh.
Lantas, tahap kecergasan semua pemain akan dinilai Steinbruckner sebelum perlawanan menentang The Red Giants pada 24 September ini.
“Ya, saya bimbang tentang perkara itu (tahap kecergasan pemain). Ini satu masalah besar (buat Terengganu). Sebelum perlawanan, saya fikir (nak beri peluang) kepada lima, enam pemain baru untuk mulakan perlawanan.
“Tetapi selepas berbincang dengan pembantu saya, kita tahu perlawanan seterusnya menentang Selangor. Jika kita kalah, atmosfera (dalam kalangan pemain) akan merudum.
“Dan ini selepas 11 tahun, kita bermain dalam Piala AFC. Kita putuskan untuk kekalkan pasukan yang sama kecuali Alif (Zakaria) di bangku simpanan kerana Arif (Fadzilah Abu Bakar) menggantikan beliau.
“Dan saya tahu ini (satu) masalah. Sekarang dalam bilik persalinan, beliau sekarang sedang dirawat kerana (mengalami) kecederaan ringan, saya harap beliau kembali pulih.
“Kita akan lihat (apa berlaku) pada Ahad. Saya amat bimbang tentang hal ini dan kita akan putuskan (siapa yang bakal beraksi),” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan seperti dilaporkan Harimau Malaya.
Berita ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Selangor yang mengintai peluang ke separuh akhir kejohanan itu. Dengan Merah Kuning pula beraksi di gelanggang sendiri, Terengganu perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kelebihan agregat 2-0 mereka.
Pemenang aksi suku akhir berkenaan bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir membabitkan KL City FC dan Sri Pahang FC di pentas separuh akhir.