Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui kecewa dengan kualiti penyudah yang dipamerkan anak-anak buahnya semasa menentang Stallion Laguna petang tadi.
Aksi ketiga Kumpulan G Piala AFC itu menyaksikan Terengganu dibolosi dua kali pada babak pertama sebelum Sony Norde merapatkan jurang pada minit ke-47.
Penyerang gantian dari Thailand, Adisak Kraisorn memastikan skuad Peteh meraih keputusan seri 2-2.
Steinbruckner merasakan dengan deretan peluang yang ada pada babak kedua, mereka bukan saja boleh menyamakan kedudukan. Malah, mereka berkemungkinan kemenangan kedua hari ini.
Justeru, beliau berharap perkara ini dapat diperbaiki sebelum mereka turun beraksi dalam aksi derby Pantai Timur menentang Sri Pahang pada Ahad ini.
“OK, ini bola sepak. Adakalanya, kita kena lihat peluang yang kita ada. Kita boleh bercakap tentang bilangan peluang menjaringkan gol.
“Atau insiden penalti membabitkan Syahmi (Zamri). Pada pandangan saya, itu sepatutnya penalti tetapi itu tidak penting.
“Yang penting di sini ialah kita beraksi biarpun berdepan masalah penggantungan dan kecederaan. Mereka beri yang terbaik tapi jika saya lihat pada pasukan saya, kita tidak boleh berpuas hati.
“Kita mempunyai banyak peluang untuk mendapat kemenangan tetapi tiada siapa mempunyai kualiti untuk menyudahkan (peluang-peluang tersebut).
“Tapi adakalanya kita memerlukan tuah seperti gol penyamaan minit akhir (oleh Adisak Kraisorn). Kita gunakan taktik bola jauh dan menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan hari ini yang disiarkan di TFC TV.
Skuad Peteh perlu menang ke atas Tok Gajah pada Ahad ini bagi memberi tekanan kepada Sabah FC yang menduduki tangga kelima Liga Super.