Tomislav Steinbruckner Puas Hati Dengan Usaha Pemain Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Keputusan seri 0-0 dengan KL City bukanlah keputusan yang memuaskan untuk jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner. Tetapi pada masa sama, usaha keras para pemain menunjukkan masih ada sinar positif yang dapat membantu Peteh mengharungi musim ini.

Perlawanan Terengganu-KL City menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang bagi memburu gol tetapi penyudah tumpul mengecewakan penyokong skuad Penyu yang berada di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Adisak Kraisorn dua kali menguji kecekapan penjaga gol City Boys, Kevin Ray Mendoza tetapi semua percubaannya digagalkan penjaga gol Filipina itu. Sementara percubaan Ivan Mamut pada minit akhir perlawanan turut ditepis bagi memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata.

“Saya berpuas hati dengan cara kita menghabiskan tenaga, kita mencipta beberapa peluang, beberapa sepakan percuma tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan satu mata sahaja.

“Selepas kalah dua kali dan hanya meraih satu mata, saya merasa sedikit kecewa. Tetapi saya tidak menyalahkan para pemain sepenuhnya,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan.

Steinbruckner mengakui kegagalan barisan penyerangnya menyudahkan peluang dalam perlawanan amat meresahkannya. Hal ini perlu ditangani segera jika Terengganu mahu mendapatkan kemenangan pertama dalam liga musim ini.

“Beberapa peluang yang kita cipta, kita perlu sudahkan kerana ada sesetengah pasukan mampu menjaringkan gol dengan peluang yang lebih sedikit.

“Tetapi peluang yang kita cipta hari ini, baik menerusi Adisak Kraisorn atau tiga atau empat situasi baik untuk sepakan percuma, ia tidak mendatangkan bahaya kepada gawang lawan.

“Saya kecewa dengan perkara itu tetapi pemain telah memberi komitmen 100% dan saya tak boleh merungut tentang itu. Hanya berkenaan tentang cara kita mendapatkan gol,” tambahnya.

Peluang seterusnya untuk skuad Penyu meraih tiga mata ialah menentang PDRM pada 11 Mac. Tetapi dengan Sang Saka Biru masih segar dengan kemenangan ke atas Kedah beberapa hari lepas, Steinbruckner pastinya tidak mahu anak-anak buahnya menjadi mangsa terbaru pasukan bimbingan Azzmi Aziz itu.