Bek tengah muda Barcelona, Pau Cubarsi berpotensi tidak diturunkan untuk aksi terbaru La Liga menentang Real Sociedad.
Ini selepas bek tengah berusia 17 tahun mengalami kecederaan di muka kerana disepak pemain lawan dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) membabitkan Barca dan Red Star Belgrade.
Kecederaan itu memaksa Flick memasukkan Sergi Dominguez sebagai pengganti Cubarsi pada minit ke-67. Susulan itu, bek tengah muda Sepanyol itu perlu menerima 10 jahitan di bahagian muka.
Apabila ditanya tentang keadaan terkininya, Flick memaklumkan Cubarsi sudah menerima rawatan. “Dia perlukan jahitan. Tapi dia dalam keadaan baik,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Perlawanan tersebut menyaksikan Barca meraih kemenangan 5-2. Inigo Martinez, Raphinha, Fermín Lopez dan dua gol Robert Lewandowski memastikan kemenangan milik pendahulu La Liga itu.
Seandainya Flick memilih merehatkan Cubarsi, bekas jurulatih Bayern Munich itu memiliki beebrapa pilihan. Beliau boleh saja menurunkan Dominguez untuk bergandingan dengan Inigo Martinez.
Satu lagi pilihan ialah menolak Jules Kounde sebagai bek tengah dan Hector Fort sebagai bek kanan.
Sekiranya Flick merasakan Cubarsi cergas menghadapi ancaman serangan La Real, graduan La Masia itu tidak akan memakai topeng untuk menutup kecederaan yang dialaminya. Sebaliknya, semua luka jahitannya akan dibalut.