Tonggak kelab Jepun dipanggil untuk membantu Malaysia beraksi di Kelayakan Piala Asia B-20.
Skuad kendalian Juan Torres kini melakukan persiapan rapi untuk beraksi dalam kejohanan penting berdepan 4 lawan hebat.
Malaysia B-19 sebelum ini telah beraksi dalam siri persahabatan di China dan tewas tiga perlawanan menentang Uzbekistan, China dan Vietnam.
Misi besar diteruskan apabila skuad muda negara bakal beraksi di Kelayakan Piala Asia B-20 yang bakal berlangsung pada pertengahan bulan September ini.
Berdasarkan senarai 23 orang pemain yang dipanggil oleh Juan Torres, seramai 8 orang pemain muda JDT dan Selangor diberi tanggungjawab untuk membantu Malaysia di Tajikistan.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut memanggil perancang tengah FC Osaka, Muhammad Abu Khalil sebagai satu-satunya pemain luar negara untuk berada dalam skuadnya.
Beliau turut memiliki pengalaman luas apabila pernah beraksi bersama skuad B-23 Malaysia di Piala Asia Qatar tempoh hari.
Pemain berusia 19 tahun ini dipinjamkan dari Selangor FC hingga Disember ini mahu terus melebarkan sayapnya untuk beraksi dalam saingan liga kompetitif di Asia.
Malaysia akan membuka tirai Kelayakan Piala Asia B-20 berdepan Oman pada 21 September 2024 disusuli tiga lagi aksi menentang DPR Korea, Tajikistan dan juga Sri Lanka.
10 pasukan selaku juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China untuk Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari 2025.