Pemain tengah veteran Jerman, Toni Kroos bakal menggantung but selepas tamat kempen EURO 2024.
Perkara ini disahkan oleh pengurusan juara La Liga musim 2023/24, Real Madrid menerusi satu kenyataan media yang disiarkan hari ini.
“Real Madrid CF mengumumkan bahawa Toni Kroos telah memutuskan untuk menamatkan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional selepas Euro 2024.
“Real Madrid ingin mengucapkan terima kasih dan kasih sayang kepada Toni Kroos, pemain yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah Real Madrid dan yang merupakan salah satu legenda hebat kelab kami dan bola sepak dunia,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, legenda Jerman itu dilihat bakal menandatangani kontrak baru dengan Los Blancos selama setahun bersama jeneral tengah Croatia, Luka Modric.
Malah, jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti melihat pengalaman yang dimiliki dua figura itu amat membantu pasukan sepanjang musim ini.
Namun begitu, Kroos merasakan ini masa sesuai buat dirinya mengundur diri pada usia 34 tahun. Ini ditambah dengan keinginannya untuk melihat Los Blancos menjadi kelab terakhir buat dirinya bila bersara.
“17 Julai 2014 – hari saya diperkenalkan di Real Madrid, hari yang mengubah hidup saya. Kehidupan saya sebagai pemain bola sepak – tetapi terutamanya sebagai seorang manusia. Ia adalah permulaan bab baru di kelab terbesar di dunia.
“Selepas 10 tahun, pada akhir musim bab ini berakhir. Saya tidak akan melupakan masa kejayaan yang hebat itu! Saya amat ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang mengalu-alukan saya dengan hati yang terbuka dan mempercayai saya.
“Tetapi terutamanya saya ingin mengucapkan terima kasih, Madridistas yang dikasihi, atas kasih sayang dan cinta anda dari hari pertama hingga hari terakhir. Pada masa yang sama keputusan ini bermakna bahawa kerjaya saya sebagai pemain bola sepak aktif akan berakhir musim panas ini selepas kejohanan Euro.
“Seperti yang saya selalu katakan: Real Madrid adalah dan akan menjadi kelab terakhir saya. Saya gembira dan bangga, bahawa dalam fikiran saya, saya mendapati masa yang tepat untuk keputusan saya dan saya boleh memilihnya sendiri.
“Cita-cita saya adalah untuk menamatkan kerjaya saya di puncak tahap prestasi saya. Mulai sekarang hanya ada satu pemikiran utama: Berusaha untuk kejuaraan ke-15 (Liga Juara-Juara UEFA (UCL)),” katanya di Instagram.
Kroos berharap dapat menutup karier permainannya dengan memburu kejuaraan ke-15 UCL untuk Real Madrid dan EURO 2024 bersama Jerman pada musim panas ini.