Treble 2012, Annuar Musa Pacu Kelantan Cipta Sejarah Gemilang Selepas Pecat Peter Butler
Trivia
Harian Metro
Advertisements

Baru-baru ini telah berlangsung satu majlis meraikan wira-wira treble bersejarah skuad Kelantan 2012, yang diusahakan oleh bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar Musa memimpin persatuan itu kira-kira 10 tahun bermula 2008, dan dalam tempoh itu membawa Kelantan meraih pelbagai kejayaan sehingga menyaksikan mereka digelar gergasi bolasepak tanah air.

Kejayaan paling manis sudah tentunya pada tanggal 20 Oktober 2012, momen tercipta sejarah gemilang bolasepak Kelantan apabila menjuarai Piala Malaysia seterusnya melengkapkan tiga kejuaraan semusim selepas terdahulu menjulang Piala FA dan trofi Liga Super.

Advertisements

Skuad The Red Warriors menjadi pasukan ketiga selepas Selangor dan Kedah, untuk mencatat pencapaian hebat itu dan sehingga ke hari ini, mereka adalah pasukan terakhir yang melakukannya – terima kasih kepada masterclass Bojan Hodak.

Bojan Hodak dibawa masuk Annuar Musa bagi menggantikan Peter Butler yang menghilangkan diri selepas direhatkan susulan tindakannya menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pengurusan berhubung campur tangan dalam pengambilan pemain import.

Kelantan memulakan musim 2012 dengan kegagalan mempertahankan trofi Piala Sumbangsih setelah tewas kepada Negeri Sembilan.

Advertisements

Mereka kemudiannya mengharungi tujuh perlawanan tanpa tewas sebelum rekod itu lebur pada perlawanan kelapan menentang Selangor di Bukit Jalil.

Pada ketika inilah meletusnya ‘perang dingin’ antara Peter Butler dan KAFA sehingga menyebabkan pengendali itu meninggalkan pasukan selepas hanya tiga bulan kembali membimbing mereka.

Selepas perlawanan tersebut, Peter Butler berkata kepada pemberita bahawa dia ibarat tiada kuasa penuh sebagai ketua jurulatih apabila sekadar menjadi pak turut dan mengikut sahaja telunjuk KAFA.

Advertisements

Dia mendedahkan bahawa langsung tidak tahu siapa pemain yang keluar dan dibawa masuk, termasuklah pembatalan pendaftaran Mohamed Ghaddar dan Dennis Antwi, kemudiannya membawa masuk Nwoha Onyekachi yang mana menurutnya semua keputusan dibuat Annuar Musa.

Kenyataan tersebut pantas mendapat perhatian Annuar Musa yang menganggap Peter Butler sebagai tidak professional dan perlawanan menentang Selangor itu menjadi perlawanan liga terakhir dikendalikannya.

Dia pada mulanya digantung selama tiga minggu dan 29 Februari KAFA menerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Affandi Hamzah membuat kenyataan rasmi khidmatnya sudah ditamatkan berkuatkuasa serta-merta. Walaupun terkejut kontraknya ditamatkan, Peter Butler akur dengan keputusan itu.

Advertisements

Bojan Hodak yang pada mulanya bertindak sebagai CEO Akademi Al-Hamra Red Warriors dilantik sebagai pengganti dengan perlawanan pertamanya adalah kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.

Dalam 18 perlawanan liga yang diharungi di bawah kendalian Bojan Hodak, Kelantan tewas cuma sekali kepada Felda United dan berjaya mempertahankan kejuaraan dengan 60 mata, 10 mata mengatasi Lions XII.

Liga Super bukan trofi pertama Kelantan pada musim itu, di mana mereka terlebih dahulu memenangi Piala FA pada bulan Mei dengan menewaskan Sime Darby dalam aksi final.

Bojan Hodak kemudian mengikut jejak Dollah Salleh dan Azraai Khor Abdullah apabila memacu Kelantan mengakhiri musim dengan menjulang Piala Malaysia menerusi kemenangan 3-2 ke atas ATM di hadapan 80,000 penyokong di Stadium Shah Alam.

Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Kelantan 1-0 di depan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, sebelum ATM bimbingan B.Sathianathan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi Rezal Zambery Yahya.

Ia hanya bertahan seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan Kelantan 2-1 di depan setelah percubaannya gagal diselamatkan Farizal Harun.

Minit ke-64, kedudukan terikat 2-2 setelah Marlon Alex James berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan dan kedudukan itu kekal sehingga tamat 90 minit menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira apabila rembatan cantiknya melepasi jangkauan Farizal Harun pada minit ke-96 sekaligus mengesahkan kemenangan buat Kelantan.

Selepas kejayaan bersejarah itu, Kelantan hanya memenangi satu trofi iaitu Piala FA pada 2013, dan sehingga ke saat ini ia kekal sebagai trofi terakhir dimenangi mereka.

Annuar Musa membuat keputusan angkat kaki dari KAFA pada 2017 susulan masalah kewangan yang cukup kritikal. Di sebalik meninggalkan pasukan itu dengan pelbagai masalah, sumbangan dan jasanya di dalam mengtransformasikan bolasepak negeri itu tetap disanjung dan dikenang ramai.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram