Tular Tonton Piala Dunia Sampai Gaduh & Baling Kerusi
MakanBola
Threads/Arifhut_

Insiden pergaduhan dan baling kerusi tercetus di sebuah restoran mamak di Taman Universiti, Johor Bahru sehingga tular di media sosial.

Insiden itu dikongsikan seorang pengguna Threads bernama Arifhut_ pada Rabu. Pergaduhan ini dipercayai tercetus semasa perlawanan pusingan 16 Piala Dunia antara Argentina dan Mesir.

Arifhut_menyifatkan pergaduhan tersebut bersifat sia-sia dan mengganggu ketenteraman pelanggan lain yang menonton perlawanan sama.

Apa yang lebih mengecewakan dia ialah pergaduhan tersebut dicetuskan oleh warga asing. “Tengok bola pun gaduh, sampai tutup televisyen,” katanya.

Sebaik hantaran itu dimuat naik di Threads, ramai pengguna menyifatkan insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan bersifat sia-sia. Seorang pengguna bernama Mrpokwan berpandangan pergaduhan sebegini tidak membawa manfaat kepada sesiapa.

“Kebodohan apa korang yang bergaduh ini? Lepas gaduh dapat harta ke?Jangan jadikan bolasepak medan kebencian. Bola sepak menyatukan. Hidup dan sokong dengan harmoni,” katanya di ruang komen.

Turut senada ialah seorang lagi pengguna bernama Nr.ainshaa_. Dia risau melihat pergaduhan itu berlaku kerana ia berpotensi mencetuskan kerosakan harta benda terutama kenderaan.

“Tenang-tenang sudahlah, kenapa sampai baling kerusi bagai? Risau dekat kereta putih itu tak kena ke,” katanya.

Argentina layak ke suku akhir selepas menewaskan Mesir 3-2. Mereka akan bertemu Switzerland yang mara selepas menewaskan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti.