Pemain sayap Chonburi FC, Phitak Phimpae menerima hukuman keras daripada kelab itu susulan tindakannya menumbuk pemain Bangkok United.
Perlawanan Thai League 1 yang berlangsung pada 31 Mac itu menyaksikan Phitak dikesan menumbuk pemain pertahanan, Peerapat Notchaiya.
Insiden tersebut dikesan pembantu pengadil video (VAR) dengan pengadil diminta pergi ke monitor untuk melihat sendiri apa yang berlaku.
Selepas melihat insiden Phitak menumbuk pemain lawan, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepadanya pada minit ke-82.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan besar 6-0 Bangkok Angels ke atas The Sharks.
Hari ini, Chonburi mengumumkan empat bentuk hukuman ke atas Phitak atas tindakannya pada Ahad lepas.
Pemain berusia 24 tahun itu dikenakan potongan gaji selama tiga bulan, membayar sendiri denda yang dikenakan Thai League 1 dan menjalani khidmat komuniti selama 100 jam.
Chonburi turut memberi amaran seandainya Phitak mengulangi perbuatan sama, kontraknya akan ditamatkan terus tanpa sebarang pampasan daripada kelab.
“Niat kelab di sini ialah memastikan insiden sebegini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Susulan kekalahan tersebut, The Sharks kini berada di tempat ke-14 dengan 22 mata selepas 22 perlawanan.