Bekas pemain badminton Malaysia, Sairul Amar Ayub mahu para peminat bersama-sama menanti pengumuman jurulatih baharu yang bakal membimbing Lee Zii Jia musim hadapan.
Minggu lalu, Team LZJ dalam satu kenyataan mengumumkan jurulatih, Wong Tat Meng bakal membawa haluan baharu dan berpisah dengan Zii Jia setelah 17 bulan bersama.
“Dengan hati yang berat dan penuh rasa terima kasih, Team LZJ menerima keputusan jurulatih, Wong Tat Meng untuk meneruskan fasa baharu dalam kerjaya kejurulatihannya,” umum Team LZJ.
“Coach Tat Meng akan terus berkhidmat bersama Team LZJ sehingga kontraknya secara rasmi tamat pada 31 Disember 2024 dan kini sedang membuat persiapan untuk BWF World Tour Finals yang akan datang.”
Keputusan mengejut ini membuatkan para peminat tertanya-tanya mengenai pengganti yang bakal membimbing juara All England 2021 itu dengan beberapa khabar angin sudah mula kedengaran.
Calon pengganti Tat Meng ini bukan sahaja meraih perhatian para peminat, bahkan juga bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar yang turut mengambil peluang untuk memberi respon.
Menurut Sairul, para peminat perlu menunggu pengumuman oleh Zii Jia dan tidak mahu membocorkan rahsia berkenaan jurulatih baharu untuk jaguh negara di ranking ke-8 dunia itu.
“Kita tunggu Lee Zii Jia umum sendirilah ya. Tak syoklah saya beritahu sebelum dia umum, tetapi saya sudah tahu siapa,” tulis Sairul Amar di laman X.
Ketika ini, Zii Jia masih dibimbing oleh Tat Meng dan berada di China bagi menghadapi BWF World Tour Finals dengan perlawanan pertama bertemu Chou Tien Chen pada Rabu.
Selain Zii Jia, 5 lagi wakil negara turut berjuang di Hangzhou iaitu Aaron Chia-Wooi Yik, Izzuddin-Sze Fei, Pearly-Thinaah, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.