Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dikhabarkan bakal berangkat ke England.
DYAM Tunku Ismail ketika ini berada di Qatar dan telah bertemu dengan nama-nama besar dalam industri bola sepak seperti Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Hasil pertemuan tersebut, pihak FIFA bersedia memberikan 3 bentuk sokongan buat projek merevolusikan Harimau Malaya yang sedang diusahakan oleh DYAM Tunku Ismail ketika ini.
Selain itu, Baginda turut berkesempatan bertemu dengan Presiden Paris Saint-Germain FC, Nasser Al-Khelaifi dan memberi bayangan sesuatu yang besar bakal berlaku tidak lama lagi.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam seakan memberi petanda destinasi DYAM Tunku Ismail seterusnya adalah ke negara England selepas selesai urusan di Qatar.
“FIFA dan PSG (selesai). Seterusnya, England” lapor Zulhelmi di laman X.
Walaupun begitu, tiada maklumat lanjut dan terperinci yang dimaklumkan oleh Zulhelmi berkenaan tujuan DYAM Tunku Ismail berangkat ke England.