Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menjanjikan sesuatu yang besar setelah bertemu pemilik Paris Saint Germain (PSG).
Menerusi satu hantaran di Instagram DYAM Tunku Ismail, Baginda telah berkesempatan bertemu Pengerusi Qatar Sports Investment yang juga Presiden Paris Saint-Germain FC, Nasser al-Khelaifi.
”Satu penghormatan dapat bertemu dengan Pengerusi Qatar Sports Investment dan Presiden Paris Saint-Germain FC, Nasser Al-Khelaifi.”
Hasil pertemuan tersebut, difahamkan sesuatu yang besar dan tidak pernah berlaku akan terjadi tidak lama lagi melibatkan JDT dan juga kelab gergasi Perancis tersebut.
“Sesuatu yang besar akan datang tidak lama lagi. Sesuatu yang kami tidak pernah lakukan sebelum ini. Alhamdulillah.,” tulis DYAM Tunku Ismail dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Baginda turut meluangkan waktu bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qatar Airways, Badr Mohammed Al-Meer bersama Penasihat Khas kepada DYAM Tunku Ismail, Tim Cahill.
Pertemuan ini dijangka akan mengeratkan hubungan Johor dan Qatar selain membawa pelbagai manfaat kepada negeri itu termasuklah pembangunan infrastruktur awam, ekonomi, bola sepak dan perkongsian kepakaran.
Selain itu, Baginda juga sempat bertemu dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu Gianni Infantino pada Rabu bagi membincangkan mengenai projek skuad kebangsaan.