Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor telah mendedahkan satu lagi projek baharu di bawah jenama JDT.
Umum mengetahui bahawa JDT merupakan sebuah kelab bola sepak yang terkemuka dengan memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat domestik sejak lebih sedekad yang lalu.
Setelah cemerlang dalam sukan bola sepak, JDT telah melebarkan jenamanya dengan menceburi cabang sukan-sukan baharu seperti futsal, hoki ais, sukan permotoran dan lain-lain.
Menerusi satu hantaran di Instastory DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, beliau memberi bayangan JDT bakal menceburi sukan Ultimate Fighting Championship (UFC).
Turut kelihatan di dalam hantaran tersebut adalah Uso Soa Palelei yang merupakan bekas jaguh MMA yang dijangka bakal diumumkan sebagai wakil JDT bagi sukan itu tidak lama lagi.
“JDT mewakili Uso Soa Palelei. Projek UFC JDT tidak lama lagi,” kata baginda di Instastory.
Desas-desus ini dikuatkan lagi dengan hantaran di laman X DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor tidak lama kemudian yang berkongsi bahwa UFC akan menjadi projek baharu di bawah jenama JDT.
”Projek JDT seterusnya. UFC (Ultimate Fighting Championship),” tulis Tunku Ismail di laman X baginda.
Setakat ini masih tiada sebarang pengumuman rasmi namun berita ini sudah pastinya bakal menjadi khabar gembira buat peminat UFC dan JDT tidak lama lagi.