Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yakin JDT bukanlah pasukan yang banyak berkata-kata sebaliknya membuktikan di atas padang.
Skuad kendalian Hector Bidoglio mencipta sensasi apabila menumpaskan Selangor FC dengan keputusan 6-1 semalam.
Kemenangan besar itu membantu skuad Harimau Selatan untuk mencipta hatrik kejuaraan Piala FA dan menjadi satu-satunya pasukan yang melakukannya.
DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran memaklumkan bahawa JDT bukanlah pasukan yang banyak berkata-kata sebaliknya menunjukkan hasil di atas padang.
Hal itu terbukti apabila JDT merakamkan 6 gol ke atas lawan untuk menang besar di Bukit Jalil.
“Kami (JDT) tidak bercakap, tidak berpura-pura jadi mangsa keadaan, mencipta drama, konspirasi dan membuat janji palsu.
“Kami hanya mencari kemenangan,” jelas baginda dalam satu hantaran.
JDT juga telah mengumpul 28 trofi setelah menjulang Piala FA sejak tahun 2013 sekaligus melebarkan kedudukan dengan pasukan lain di Malaysia ketika ini.