Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menjelaskan cara kerja terbaik mengikut panduan dari Johor.
Baru-baru ini, baginda dalam satu hantaran memberi panduan mengenai cara kerja terbaik dengan menasihati agar tidak berlakunya sebarang kerja yang tidak selari dengan kata-kata.
”Di Johor atau cara Johor, kita buat kerja tanpa perlu bising-bising, berlebih-lebihan, memberikan harapan palsu, dan akhirnya tiada apa-apa,” tulis Tunku Ismail.
Baginda juga yakin bahawa amalan kerja yang sudah diterapkan ini mungkin tidak boleh diterima oleh sebahagian besar orang.
“Apabila kami berjanji, kami akan berjuang untuk menepatinya. Itulah Johor, hasil lebih bererti. Sudah bertahun-tahun kami membuktikan setiap perkara yang diumumkan akan dilaksanakan dan menjadi kenyataan.
“Namun begitu, tidak semua orang faham dan kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana mereka tidak biasa,” ujar Tunku Ismail lagi.
Baginda turut menyebut beberapa nama pemain yang berjaya dituai oleh Johor sebelum ini tanpa memberikan kenyataan secara berlebihan.
“Dion Cools, Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkins, Corbing Ong, Endrick Dos Santos, Romel Morales.
“Tahu tahu dah jadi. Takda heboh heboh menggelupur. Ubahlah pemikiran tu. Tengok Johor, ikut cara Johor. Bersabar, beradab, dan bersyukur. InsyaAllah, Allah kurniakan kejayaan,” tambah baginda.