DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengumumkan projek revolusi Harimau Malaya menerusi satu hantaran Story Instagram sebentar tadi.
Menurut muat naik story berkenaan, Tunku Ismail memaklumkan, Malaysia bakal miliki jurulatih baru untuk skuad senior dan bawah 23 tahun.
Tunku Ismail turut menjelaskan akan terdapat pasukan perubatan khusus dan teknologi baru untuk kem Harimau Malaya.
“Esok akan diumum berkenaan head coach pasukan kebangsaan. Coach U23, medical team dan technology yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan.”
Selain itu, revolusi Harimau Malaya turut melibatkan perkenalan jawatan baru iaitu Ketua Pegawai Eksekutif dan akan terdapat pengarah teknikal baharu.
“Selepas head coach selesai, akan diumumkan CEO dan technical director dalam masa terdekat.”
Tunku Ismail turut memberikan berita yang paling ditunggu-tunggu peminat bola sepak Malaysia iaitu Malaysia akan bertemu dengan wakil FIFA untuk mendapatkan data pemain warisan yang boleh beraksi buat Malaysia.
“Ada meeting dengan FIFA representative untuk dapatkan data Malaysian Mix heritage players di luar negara.”