Pemain muda Singapura dan Lion City Sailors, Nur Muhammad Asis disahkan telah menandatangani kontrak bersama kelab divisyen utama Portugal, CF Estrela Amadora.
Asis yang berusia 20 tahun itu difahamkan telah menandatangani kontrak pinjaman selama setahun sekali gus menjadikan beliau sebagai pemain Singapura pertama yang menyertai kelab di negara Portugal.
Kelab Lion City Sailors telah menjadi komponen penting dalam merealisasikan perpindahan ini selepas bertindak menghantar Asis untuk menghadiri beberapa siri percubaan di Portugal menjelang penghujung musim 2023 lalu.
Pengarah Sukan kelab Estrela, Jose Faria berpendapat Asis mempunyai potensi yang besar dalam arena bola sepak.
“Asis mempunyai potensi besar untuk mencapai perkara besar dalam bola sepak, jadi kami gembira untuknya dan kami ingin beliau bekerja sekeras yang boleh di sini. Kami berharap ini menjadi titik permulaan bagi kerjasama antara Estrela dan Lion City Sailors,” jelas Faria seperti dilaporkan Mediacorp.
Dengan termaktubnya perpindahan ini, Asis akan berlatih dan beraksi dengan Pasukan B Estrela dan akan dipantau rapi oleh jurulatih skuad utama pasukan tersebut.