Dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Manchester City mendapat laluan berbeza untuk pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Cabutan undi pasukan untuk pusingan tersebut menyaksikan Arsenal akan bertemu wakil Jerman, Bayer Leverkusen.
City pula bernasib malang kerana berdepan cabaran kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid. Ini kerana Los Blancos sudah menyingkirkan anak buah Pep Guardiola sebanyak tiga kali daripada empat pertemuan terakhir mereka.
Selain City, Chelsea juga berdepan cabaran sukar dalam pusingan 16 UCL. Ini kerana mereka bertemu juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).
Sekiranya Arsenal berjaya menyingkirkan Leverkusen, mereka akan menentang sama ada Bodo/Glimt atau Sporting Lisbon di peringkat suku akhir.
Laluan sukar City tidak terhenti di pusingan 16. Jika mereka berjaya mara, mereka perlu menentang sama ada Atalanta atau Bayern Munich di peringkat suku akhir.
Aksi lain menyaksikan Liverpool akan menentang Galatasaray. Dua lagi wakil EPL, Newcastle United dan Tottenham Hotspur berdepan cabaran hebat dari Sepanyol.
Newcastle berdepan cabaran satu lagi kelab gergasi Sepanyol, Barcelona. Atletico Madrid pula menanti cabaran Spurs.