Kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 2-1 kepada AS Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Stadium Louis II.
Kedua-dua pasukan masing-masing hadir dalam perlawanan ini dengan rekod kemenangan 100% dalam La Liga dan Ligue 1.
Robert Lewandowski diberi amanah merobek gawang Los Monegasques. Sementara Takumi Minamino, Breel Embolo, Maghnes Akliouche dan Eliesse Ben Seghir menjadi sandaran gol Adi Hutter.
Hajat Barca untuk mendapatkan gol awal tergugat apabila Eric Garcia diperintah keluar padang pada minit ke-10. Ini selepas bekas pemain Manchester City itu menerjah Minamino di luar kotak penalti.
Kelebihan 11 pemain pantas dimanfaatkan Los Monegasques. Monaco meraih gol pendahuluan menerusi Akliouche pada minit ke-16.
Tersentak, pasukan pelawat berusaha mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Lamine Yamal menyamakan kedudukan 1-1 buat Barca pada minit ke-28.
Gol tersebut turut menyaksikan Yamal menjadi penjaring gol kedua termuda dalam sejarah kejohanan. Beliau hanya 28 hari lebih tua daripada pendahulu senarai yang juga bekas bintang pinjaman Brighton, Ansu Fati.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Hutter membuat beberapa pertukaran pemain untuk meningkatkan tekanan Monaco ke atas Barcelona.
Antara pemain yang dimasukkan beliau ialah bintang muda Nigeria, George Ilenikhena dan bekas penyerang Arsenal, Folarin Balogun.
Percaturan jurulatih Austria itu membuahkan hasil apabila Ilenikhena pantas memanfaatkan peluang pada minit ke-71 untuk menewaskan Marc-Andre ter Stegen.
Barca menyangka mereka ditimpa malang apabila pengadil menganugerahkan penalti kepada Los Monegasques pada minit ke-85. Walau bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas disemak oleh VAR.
Monaco terus memberi tekanan kepada Barcelona tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Monaco dan Barca masing-masing berada pada kedudukan ke-12 dan 22 dalam carta liga UCL.
Pemain pertahanan Los Monegasques, Vanderson dipilih pemain terbaik permainan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 8.2, 0.1 mata di hadapan ter Stegen.
Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali fokus kepada cabaran liga domestik masing-masing. Monaco bakal menentang Le Havre pada 22 September.
Sementara Barcelona pula bakal berdepan cabaran Villareal pada awal pagi 23 September.