UCL: Barcelona Gah Benam Cabaran PSG
UEFA Champions League
FC Barcelona
Advertisements

Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona meraih kelebihan tipis untuk aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan menewaskan Paris Saint-Germain 3-2 dalam aksi pertama suku akhir hari ini.

PSG yang beraksi di gelanggang keramat mereka, Parc des Princes memiliki sedikit kelebihan kerana pernah menewaskan Barcelona dalam UCL musim 2020/21.

Jadi, tidak hairanlah sebaik babak pertama bermula, PSG berusaha mencari kelebihan gol awal. Ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai Ronald Araujo bekerja keras menyerap asakan mereka.

Advertisements

Tatkala tuan rumah tercari-cari sentuhan penyudah mereka, Barca terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-37 menerusi Raphinha.

Tersentak, PSG diketuai kapten Perancis, Kylian Mbappe berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah meningkatkan asakan ke atas kubu Barca. Gol penyamaan berjaya diraih pada minit ke-48 menerusi bekas bintang kelab Catalan itu, Ousmane Dembele.

Advertisements

Gol tersebut menaikkan semangat tuan rumah untuk memburu gol kedua. Hasilnya, Vitinha menggandakan kelebihan PSG dua minit selepas itu.

Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila jurulatih PSG, Luis Enrique memasukkan Warren Zaire-Emery menggantikan bintang Korea Selatan, Lee Kang-in pada minit ke-61.

Pertukaran tersebut membuka ruang kepada Raphinha menyamakan kedudukan buat Barca seminit selepas itu.

Advertisements

Pelawat kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi bekas pemain pertahanan Chelsea, Andreas Christensen pada minit ke-77. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Impak Raphinha kepada Barca diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Bekas pemain sayap Leeds United itu mendapat markah 8.9.

Kedua-dua pasukan bakal bersemuka buat kali kedua di Estadi Olímpic Lluís Companys pada 17 April ini. Ini bagi menentukan siapa bakal layak ke separuh akhir UCL.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram