Advertisement
UCL: Barcelona ‘Ratah’ Bayern Munich
UEFA Champions League
MakanBola
FC Bayern Munchen

Barcelona terus mengekalkan rentak kemenangan apabila membelasah Bayern Munich 4-1 dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Die Roten mahu bangkit dalam saingan UCL selepas sebelum ini tewas kepada Aston Villa. Sementara Barca pula mahu menambah satu lagi kemenangan selepas membelasah BSC Young Boys 5-0.

Inaki Pena menjadi pilihan Hansi Flick untuk mengawal gawang Barcelona. Manakala Harry Kane terus menjadi sandaran gol pengurus Bayern, Vincent Kompany.

Barca tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Raphinha seawal minit pertama. Kesilapan pertahanan pelawat membuka ruang buat bekas pemain Leeds United itu untuk menewaskan penjaga gol, Manuel Neuer.

Tersentak, Die Roten menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan. Hasilnya, penyerang berbisa England, Harry Kane memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada minit ke-18.

Penyerang Poland, Robert Lewandowski kembali menghantui kelab lamanya dengan meletakkan Barcelona kembali di hadapan pada minit ke-36.

Raphinha terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan pelawat dengan meledakkan gol ketiga Barca pada minit ke-45. Selepas menerima hantaran Marc Casado, pemain sayap berusia 27 tahun itu membuat larian solo sebelum menewaskan Neuer.

Barca terus memberi tekanan kepada pertahanan Die Roten tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Barcelona terus memburu gol tambahan dengan sokongan penyokong di Stadium Olimpik Lluis Companys.

Raphinha melengkapkan hatriknya pada minit ke-56. Selepas menerima hantaran Lamine Yamal, beliau berjaya melepaskan rembatan ke arah gol meskipun cuba dihalang Neuer dan dua pemain pertahanan pelawat.

Situasi ini memaksa Kompany melakukan empat pertukaran pemain termasuk dua pemain sayap, Leroy Sane dan Kingsley Coman pada minit ke-60.

Bayern terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan. Kemenangan ini menyaksikan Barca di tangga ke-10 dengan Bayern jatuh ke tangga ke-23.

Hatrik Raphinha turut menyebabkan beliau dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.2, 1.6 mata di hadapan Kane.

Selepas ini, Barcelona bersiap sedia untuk aksi El Clasico dengan Real Madrid pada awal pagi 27 Oktober. Manakala Bayern pula bakal menentang VfL Bochum pada hari yang sama.