Juara La Liga musim 2023/24, Real Madrid mengesahkan kemaraan ke final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila menewaskan Bayern Munich dalam aksi kedua separuh akhir.
Selepas terikat 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama, kedua-dua pasukan sedar hanya kemenangan yang bakal membawa mereka ke pentas final.
Bagi Bayern, ini peluang terakhir mereka merangkul trofi untuk musim 2023/24 selepas melihat gelaran juara Bundesliga dipegang Bayer Leverkusen.
Babak pertama menyaksikan Los Blancos sebagai tuan rumah melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah Bayern menerusi Vinicius Junior dan Rodrygo.
Keadaan ini memaksa Die Roten yang dibimbing Thomas Tuchel terpaksa menyerap tekanan demi tekanan ke atas kubu pertahanan mereka.
Pelawat hampir mendahului menerusi penyerang berbisa England, Harry Kane pada minit ke-29 selepas menerima hantaran Joshua Kimmich. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Ukraine, Andriy Lunin.
Real Madrid terus mencari peluang menjaringkan gol tetapi Bayern memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada kedua, permainan semakin rancak membabitkan kedua-dua pasukan. Selepas menyerap tekanan yang dikenakan tuan rumah, Bayern mendahului pada minit ke-68.
Selepas menerima umpanan daripada Kane, Alphonso Davies melepasi kawalan beberapa pemain Los Blancos sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Lunin.
Bayern hampir menggandakan kelebihan mereka menerusi Matthijs de Ligt pada minit ke-73. Malangnya, keceriaan mereka tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Penyokong Die Roten seakan tidak percaya apabila Tuchel mengeluarkan Kane dan memasukkan Eric Maxim Choupo-Mating pada minit ke-85.
Percaturan jurulatih Jerman itu untuk sekurang-kurangnya bertahan sehingga wisel penamat tidak berhasil.
Pemain gantian, Joselu memastikan Real Madrid mara ke final menerusi dua gol yang dijaringkan pada minit ke-88 dan 91. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini memastikan Los Blancos layak ke final selepas meraih kemenangan 4-3 secara agregat ke atas Bayern.
Impak Joselu walaupun seketika diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan markah 9.0.
Los Blancos bakal bersemuka dengan Borussia Dortmund di pentas final di Stadium Wembley pada 2 Jun ini.