Advertisement
UCL: Hatrik Vinicius Jr Bantu Real Madrid Belasah Borussia Dortmund
UEFA Champions League
MakanBola
Real Madrid CF

Hatrik pemain sayap Brazil, Vinicius Jr membantu Real Madrid membelasah Borussia Dortmund 5-2 dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Kedua-dua pasukan berharap dapat membawa momentum kemenangan saingan liga domestik ke saingan UCL. Menariknya, Los Blancos dan Dortmund masing-masing menewaskan Celta Vigo dan St. Pauli dengan keputusan 2-1.

Dengan Dani Carvajal berehat panjang kerana kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), Carlo Ancelotti memilih Lucas Vasquez beraksi sebagai bek kanan. Manakala Serhou Guirassy terus menjadi sandaran gol pengurus Der BVB, Nuri Sahin.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal. Bagi Dortmund, ini peluang mereka membalas dendam selepas tewas kepada Real Madrid di pentas final UCL di Wembley pada akhir musim 2023/24.

Penyerang Belanda, Donyell Mallen membuatkan penyokong tuan rumah tergamam dengan menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois pada minit ke-30.

Empat minit kemudian, giliran graduan akademi Manchester City, Jamie Gittens pula menggandakan kelebihan Dortmund. Gittens mudah menolak hantaran Mallen masuk melepasi Courtois.

Tersentak, Real Madrid berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Los Blancos terus meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan pelawat untuk merapatkan jurang gol.

Hasilnya, bekas bek tengah Chelsea, Antonio Rudiger mencetuskan kebangkitan tuan rumah dengan tandukan padu yang menerjah gawang Der BVB pada minit ke-60.

Enam minit kemudian, Vinicius pula mencipta nama sebagai penjaring dengan menolak bola muntah rembatan Kylian Mbappe. Meskipun gol ini pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, VAR mengubah keputusan itu selepas melihat Mbappe berada pada kedudukan onsaid.

Keadaan ini mendorong Sahin memasukkan Emre Can, Maximillian Beier dan Pascal Gross untuk cuba mengubah kembali momentum perlawanan memihak kepada Dortmund.

Malangnya, usaha beliau tidak berhasil apabila Vasquez meledakkan gol ketiga Los Blancos pada minit ke-86. Ini disusuli dengan dua gol lewat Vinicius sekaligus melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu.

Kemenangan 5-2 Real Madrid memastikan mereka kini berada di kedudukan kesembilan carta liga UCL dengan enam mata. Manakala Dortmund pula di tangga kelima dengan jumlah mata yang sama.

Walau bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah dengan sembilan lagi aksi UCL bakal berlangsung pada awal pagi 24 Oktober.

Hatrik yang dilakar Vinicius menyebabkan beliau dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 10.

Selepas ini, Real Madrid mengalihkan fokus untuk aksi El Clasico dengan musuh tradisi, Barcelona pada awal pagi 27 Oktober. Manakala Dortmund pula berhadapan Augsburg pada 26 Oktober.