UCL: Liverpool Dimalukan Real Madrid Di Anfield
UEFA Champions League
Red and white kop
Advertisements

Saingan Liga Juara-Juara Eropah diteruskan dengan peringkat 16 terakhir. Namun kejutan telah tercipta apabila Real Madrid memalukan Liverpool dengan keputusan 5-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield awal pagi tadi.

Liverpool memulakan perlawanan dengan agak baik apabila mendahului 2 gol dalam tempoh 14 minit permainan hasil jaringan yang dihasilkan oleh Darwin Nunez dan Mohamed Salah. Gol Nunez terhasil seawal minit ke-4 perlawanan selepas menyambar hantaran lolos dari Mohamed Salah untuk kedudukan 1-0.

Mohamed Salah menggandakan kedudukan menjadi 2-0 selepas mengambil peluang terhidang atas kesilapan Thibaut Curtois yang gagal mengawal bola dengan baik lalu membolehkan Salah mudah menolak masuk bola ke gawang Real Madrid.

Advertisements

Ketinggalan 0-2, Real Madrid menggandakan serangan bagi mencari gol. Ianya berhasil apabila Vinicius Junior berjaya meledak gol hasil rembatan deras dari dalam kotak penalti.

Vinicius sekali lagi menjadi wira Real Madrid apabila meledak gol penyamaan hasil kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya namun terkena kepada Vinicius sekaligus menyamakan kedudukan menjadi 2-2.

Real Madrid terus mengganas di separuh masa kedua apabila pada minit ke-47 mereka mendahului buat kali pertama dalam perlawanan ini hasil tandukan Eder Militao yang menyambar sepakan percuma Luka Modric.

Advertisements

Pada minit ke-55, Karim Benzema menambah derita Liverpool selepas penyerang veteran Perancis itu melepaskan rembatan lemah yang tertampan pertahanan Liverpool untuk menambah kelebihan Real Madrid menjadi 4-2.

Malam gemilang Real Madrid ditutup dengan gol kelima hasil jaringan Benzema yang berjaya memperdaya penjaga gol dan tiga lagi pertahanan sebelum merembat deras ke arah gawang Liverpool. Kedudukan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Liverpool tidak pernah menewaskan Real Madrid dalam mana-mana enam pertemuan terakhir mereka dalam tempoh sembilan tahun lalu. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi timbal balik yang dijadualkan pada 16 Mac ini di Santiago Barnebeu

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram