Pemain tengah Arsenal, Declan Rice berdepan kemungkinan disiasat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Football. London melaporkan kemungkinan itu timbul selepas Rice membidas keputusan pengadil, Danny Makkelie tidak memberi penalti kepada Arsenal dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Pada awalnya, The Gunners dianugerahkan sepakan penalti pada minit akhir permainan. Ini selepas Eberechi Eze didakwa dijatuhkan pemain Atletico Madrid dalam kotak penalti.
Walau bagaimanapun, Makkelie kemudiannya membatalkan keputusan penalti itu selepas melihat semula insiden berkenaan di monitor VAR.
Keputusan beliau bukan saja mencetuskan rasa tidak puas hati Rice tetapi juga jurulatih Arsenal, Mikel Arteta.
Bekas jeneral tengah West Ham United itu percaya perkara ini berlaku disebabkan tekanan penyokong Atletico semasa perlawanan.
“Keputusan penalti Ebs’ (Eberichi Eze) itu memang jelas penalti,” katanya.
“Jadi, saya tak tahu kenapa ia tidak diberi (kepada Arsenal). Saya fikir penyokong (Atletico Madrid) telah memprovokasi keputusan itu dan mengubah pandangan pengadil.”
Kenyataan ini dijangka mencetuskan siasatan UEFA kerana Rice menuduh pengadil itu bersikap bias terhadap mereka berhubung keputusan itu.
Sekiranya perkara itu berlaku, pemain tengah England itu berpotensi bukan saja terlepas aksi separuh akhir kedua jika dikenakan penggantungan perlawanan.
Malah, Rice juga berpotensi terlepas aksi final UCL jika Arsenal layak ke peringkat tersebut.
Aksi separuh akhir pertama UCL antara Atletico dan Arsenal menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Kedua-dua pasukan bakal berentap buat kali kedua pada awal pagi 6 Mei ini.