Advertising
UEL: Manchester United Bergaya Singkirkan Real Sociedad
MakanBola
Manchester United

Manchester United mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Liga Europa UEFA (UEL) dengan bergaya apabila menewaskan Real Sociedad di Old Trafford.

Selepas terikat 1-1 di San Sebastian, kedua-dua pasukan perlu menang jika ingin mara. United turut melihat ini peluang memburu trofi UEL selepas tersingkir dalam saingan The Emirates FA Cup.

Bek tengah muda, Ayden Heaven diberi kepercayaan mengisi slot bek tengah The Red Devils. Mikel Oyarzabal mengetuai cabaran La Real.

Ad

Sociedad meraih gol pendahuluan seawal minit ke-10 menerusi Oyarzabal. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Mathijs de Ligt ke atas beliau dalam kotak penalti.

Selepas melihat insiden tersebut di monitor, Benoit Bastien memberi penalti kepada pelawat. Oyarzabal tenang menewaskan Andre Onana untuk meletakkan La Real di hadapan.

Ad
Ad

Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama enam minit. Bastien memberi sepakan penalti kepada United apabila Igor Zubeldia dikesan menjatuhkan Rasmus Hojlund.

Ad

Kapten The Red Devils, Bruno Fernandes pantas menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Sociedad, Alex Remiro.

Kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Sociedad terus ditimpa malang apabila Bastien menganugerahkan satu lagi sepakan penalti kepada tuan rumah.

Kali ini, giliran pemain pertahanan Denmark, Patrick Dorgu pula dijatuhkan Aritz Elustondo dalam kotak penalti. Fernandes tenang menewaskan Remiro pada minit ke-50.

Lapan minit selepas itu, La Real makin derita apabila Jon Aramburu diperintah keluar padang oleh Bastien. Keputusan itu dibuat kerana Aramburu orang terakhir yang menghalang Dorgu daripada menjaringkan gol.

Gol ketiga yang dicari United hadir pada minit ke-88 menerusi Fernandes. Pemain perancang Portugal itu mudah menyempurnakan hantaran Alejandro Garnacho melepasi Remiro.

Diogo Dalot memastikan The Red Devils meraih kemenangan bergaya menerusi gol keempat pada minit ke-92. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan United mara dengan keputusan agregat 5-2. Sofascore memilih Bruno Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 10.

Kemenangan ini bakal menyuntik keyakinan The Red Devils untuk menghadapi cabaran Leicester City pada 17 Mac. La Real pula berdepan Rayo Vallecano pada hari yang sama.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments