Semua sedia maklum pada akhir tahun lepas, UITM FC terpaksa menarik diri dari saingan Liga Super musim 2023 akibat masalah kewangan. Tetapi hari ini, pasukan itu kembali bangkit dan menjalani penjenamaan semula di bawah nama baru UITM United.
Bersesuaian dengan nama baru ini, UITM United atau nama jolokannya, The Lions bakal memulakan aksi dalam Liga Bola Sepak Amatur (AFL) iaitu Liga M4 di bawah bimbingan bekas jurulatih Sukan Universiti ASEAN, Yazli Yahya.
Selain itu, pasukan tersebut turut mengekalkan tradisi menggunakan sepenuhnya pemain berstatus pelajar UITM. Hanya sembilan pemain yang dibawa masuk menyertai The Lions mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super musim lepas.
Bagi Naib Cancelor UITM, Prof. Dr. Shazili Shahimi, kehadiran semula UITM United ini bukan saja mampu melahirkan bakat-bakat baru dalam dunia bola sepak negara. Malah, beliau merasakan pasukan ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain terutama di Liga M4.
“Kita berharap kali ini mereka dapat menunjukkan prestasi yang terbaik sebagaimana yang lepas-lepas. Kita mampu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih senior di peringkat negeri-negeri yang bertanding di liga kebangsaan.
“Jadi, kita berbangga kerana dapat menghasilkan 100% pelajar dan kita berharap pemain-pemain yang kita latih dan asuh selepas ini boleh pergi ke pasukan-pasukan hebat seperti di Liga Super pada satu hari nanti,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran UITM United petang tadi.
UITM United beroperasi dengan belanjawan sebanyak RM300,000 semusim. Bagi Prof. Dr. Shazili, beliau melihat ini sebagai pendekatan berhemah untuk pasukan dari segi kewangan dan memastikan The Lions bersedia menyertai Liga Super apabila tiba masanya.
“Ini supaya penyertaan kali ini, kita muncul sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir (Liga M4). Tetapi saya jangka separuh akhir itu terlalu rendah. (Dengan) kemampuan pelajar-pelajar kita, kita boleh ke final saya rasa.
“Tetapi sekiranya pertama kali penyertaan ini, separuh akhir pun sudah memadai. Dan untuk masa depan, kita belum putuskan lagi bagaimana sama ada kita akan ke liga atas seterusnya atau kekal sebegini,” tambahnya.