Meskipun kini berada di Uzbekistan, nama Selangor FC sentiasa tersemat dalam hati Umarbek Eshmurodov.
Bek tengah FC Nasaf itu memuat naik mesej motivasi buat bekas pasukannya menjelang aksi final pertama MFL Challenge Cup di Stadium MBPJ.

“Selamat berjaya, kawan-kawan dalam aksi final hari ini. Selangor FC ialah juara!” katanya di Instagram Story.
Umarbek sedar final ini cukup penting buat Selangor. Ini kerana ini peluang buat Merah Kuning menamatkan kemarau trofi pasukan itu dalam tempoh sedekad.
Bek tengah berusia 32 tahun itu menyertai Selangor pada awal musim 2024/25. Umarbek beraksi sebanyak 20 kali sepanjang bersama Merah Kuning.
Beliau turut merekodkan satu gol dan satu bantuan gol sebelum kembali menyertai FC Nasaf pada Januari lalu.
Umarbek juga sempat membantu Selangor muncul naib juara Piala FA 2024 pada Ogos 2024.
Meskipun tempohnya bersama Selangor tidak lama, keinginannya melihat Merah Kuning menebus kehampaan final tersebut tetap membara.