Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Liga Malaysia belum lagi bersedia untuk menerima pelaksanaan sistem bantuan video pengadil (VAR) dalam masa terdekat.
Menurut Hamidin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), antara penghalang utama pelaksanaan teknologi tersebut di saingan bola sepak tempatan adalah faktor kos yang terlalu tinggi.
“Saya fikir VAR belum dapat dilaksanakan sebab kos, jadi dalam keadaan sekarang tidak mungkin akan digunakan,” kata Hamidin.
Walaupun demikian, Hamidin tidak menolak kemungkinan penggunaan teknologi tersebut apabila MFL memiliki sumber kewangan yang kukuh pada masa hadapan.
“Tapi bila MFL sudah mencapai satu tahap yang lain dari segi kewangan, Insya-Allah kita akan gunakan VAR, tapi bukan sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga M 2020 semalam.
Cadangan penggunaan VAR bukanlah perkara baharu di dalam kancah saingan Liga Malaysia. Sebelum ini VAR dikatakan akan dilaksanakan pada 2018, sebelum ianya ditangguhkan akibat faktor kos yang tinggi.
Beberapa pihak termasuk jurulatih, pemain dan penyokong turut mendesak agar Liga Malaysia menggunakan teknologi VAR dalam perlawanan bagi mendapatkan keputusan lebih tepat membabitkan situasi tertentu dalam perlawanan.
Sebagai perbandingan, Liga Thai telah melaksanakan penggunaan sistem VAR dalam perlawanan Piala FA dan perlawanan akhir Piala Liga pada musim lalu.
Teknologi tersebut dikatakan akan digunakan sepenuhnya di Liga Thai pada musim 2020 ini.