Advertisements
Versatiliti Kumaahran Satu Kelebihan Besar Buat Ong Kim Swee dan Sabah
Dunia
MakanBola
Sabah Football Club

S.Kumaahran telah bermain di pelbagai posisi berbeza dalam empat tahun kebelakangan, namun naluri seorang penyerang masih begitu tebal di dalam dirinya.

Pemain ini menawarkan versatiliti kepada mana-mana jurulatih, dan itu pastinya menjadi kelebihan utama dalam kelibatnya.

Kumaahran asalnya seorang penyerang, tetapi diubah ke posisi bek kanan oleh Dollah Salleh ketika bersama Sri Pahang dan kemudiannya turut berperanan sebagai pemain sayap ketika bersama Melaka United dan PJ City.

Bersama Sabah pada musim ini, dia menyasarkan mahu kembali bermain di posisi asal justeru menyedari banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan jika mahu tembus ke dalam kesebelasan utama.

“Saya ingin fokus untuk meningkatkan kualiti permainan saya terutamanya dari aspek penyudah.

“Saya nak melakukan penyudah yang lebih baik dan kena memastikan serangan yang lebih tajam kali ini sebab saya sedar musim lepas agak kurang menjadi untuk saya.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap sahaja mengenai misi dan sasaran sebab yang penting saya kena buktikan dahulu kemampuan saya dalam perlawanan”, kata Kumaahran.

Sabah musim ini mempunyai lambakan pemain yang boleh diturunkan sebagai penyerang atau penyerang sayap.

Baru-baru ini mereka membawa masuk Darren Lok dan Jafri Firdaus Chew, manakala Azhad Harraz, Amri Yahyah, Maxsius Musa pula adalah pemain yang sedia ada dan senarai ini belum termasuk pemain import.

Sementara itu, mengenai sebab yang mendorong dia memilih Sabah untuk mengembangkan karier, Kumaahran memberitahu Ong Kim Swee adalah penyebab utama.

“Saya dah biasa dengan beliau sebab sebelum ini dah bersama-sama dalam Harimau Muda, jadi saya tahu bagaimana gaya dan pembawakannya di atas padang.

“Sebab itu saya rasa selesa untuk berada di bawah bimbingannya apatah lagi kita tahu bagaimana beliau telah membimbing Sabah pada musim lepas dengan corak permainan yang lebih baik, dan saya teruja untuk kembali bekerjasama dengan beliau”, tambah Kumaahran lagi.