Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) sedia mengambil tindakan sekiranya keputusan Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memihak kepada Malaysia.
Portal TheThao247 melaporkan badan induk itu bersedia mengemukakan petisyen kepada AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika perkara itu berlaku.
Kenyataan itu dibuat tatkala kes tujuh pemain negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin AFC.
Ini susulan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengumumkan keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan tujuh pemain negara.
CAS mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas mereka. Meskipun tidak dibenarkan menyertai perlawanan rasmi, mereka dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih bersama pasukan masing-masing.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John memaklumkan dua kod disiplin yang akan digunakan untuk kes tersebut ialah Artikel 25 dan 56 Kod Etika dan Disiplin AFC.
Beliau turut memaklumkan FAM tidak akan berdepan penggantungan daripada AFC. Ini kerana dua kod disiplin yang dinyatakan tidak mengandungi klausa hukuman penggantungan.