AFC Jamin FAM Tidak Akan Digantung
MakanBola
AFC Academy

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi jaminan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan digantung.

Perkara ini dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John apabila diminta mengulas tentang keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap FAM.

Windsor memaklumkan dua kod disiplin yang akan digunakan ialah Artikel 25 dan 56 Kod Etika dan Disiplin AFC.

Pasukan yang didapati bersalah di bawah Artikel 25 menyaksikan kemenangan pasukan itu dibatalkan dengan kemenangan 3-0 diberi kepada pihak lawan. Hal ini berlaku jika pasukan didapati menggunakan pemain tidak sah.

Artikel 56 pula merujuk kepada kesalahan pemain yang tidak layak beraksi dalam sesebuah perlawanan atas sebab seperti penggantungan atau isu pendaftaran.

Windsor memaklumkan hukuman penggantungan tidak diperuntukkan mengikut dua artikel yang dinyatakan.

“Kalau kita lihat kedua-dua artikel ini, tidak ada pun yang merujuk kepada penggantungan persatuan atau pasukan.

“Tetapi kuasa diberi kepada jawatankuasa (Jawatankuasa Disiplin AFC) untuk mengambil keputusan (hukuman) lebih daripada apa yang diperuntukkan dalam kod.

“Jadi, kita kena lihat itu. Jadi, seperti biasa FAM akan dikenakan dakwaan berhubung kes ini dan diberi tempoh masa untuk menjawab tuduhan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Penggantungan tidak akan berlaku memandangkan denda membabitkan isu pemalsuan dokumentasi telah diputuskan oleh FIFA dan CAS.

Sebelum ini, AFC memaklumkan kes FAM dan tujuh pemain warisan negara akan dirujuk kepada Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC untuk tindakan selanjutnya.

Ini selepas badan induk bola sepak Asia itu menerima keputusan CAS berhubung rayuan yang dikemukakan FAM.

Claim Money Packet TnG