Pemain tengah Malaysia, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal kembali menyerlah di bumi Amerika Syarikat.
Selepas berehat lama akibat kecederaan, pemain tengah St. Louis City 2 itu telah merekodkan enam penampilan untuk musim 2025.
Kini, aksi menentang North Texas SC menyaksikan beliau mula mempamerkan aksi terbaik di bahagian tengah.
Kuzain membuat satu hantaran jauh yang disudahkan penyerang Finland, Emil Jaaskelainen pada minit ke-15. Sebaik menjaringkan gol, anak legenda EPL, Jussi Jaaskelainen itu menghargai sumbangan pemain Malaysia itu.
Ini turut menjadikan hantaran gol pertama Kuzain buat St. Louis City 2 untuk musim 2025. St. Louis City 2 menggandakan kelebihan mereka menerusi Matteo Kidd pada minit ke-40. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan St. Louis City 2 terus menghambat pendahulu Kumpulan B MLS Next Pro, Ventura City. Kedua-dua pasukan kini berkongsi 23 mata.
Persembahan terbaru Kuzain dijangka memberi semangat kepada beliau untuk mendapatkan tempat dalam kem Harimau Malaya.