Pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Natxo Insa menjadi antara watak penting dalam kemenjadian pasukan JDT musim ini.
Selain beraksi sebagai general tengah terbaik di Liga Malaysia ketika ini, beliau juga memainkan peranan yang cukup besar di dalam bilik persalinan. Natxo yang juga merupakan antara kapten JDT sentiasa berikan motivasi dan semangat kepada rakan sepasukan sebelum perlawanan bermula.
Dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia ketika JDT menentang Kelantan, kata-kata yang dilontarkan Natxo benar-benar menggerunkan. Dengan nada suara yang kuat dan jelas, laungan Natxo semestinya menjadi motivasi terbaik dan menambah keyakinan JDT untuk meraih kemenangan.
Pemain berusia 36 tahun itu percaya JDT merupakan sebuah pasukan yang memiliki mentaliti berbeza berbanding pasukan lain. Tambahnya lagi, JDT tidak pernah puas untuk meraih kemenangan.
“Kali ini bermain disini kita berbeza, tapi tak apa, kita adalah JDT. Mentaliti yang kita ada seratus peratus berbeza dengan mereka.”
“Pasukan kita terus kehadapan dan sentiasa mahukan kemenangan. Kita bermain nanti, semestinya kita akan lakukan yang terbaik,” laung Natxo Insa.
Aksi tersebut menyaksikan JDT berjaya menjinakkan pasukan tuan rumah, Kelantan dengan keputusan 3-0.
Harimau Selatan bakal melayan kunjungan The Red Warrior bagi aksi kedua suku akhir Piala Malaysia 2022. Aksi penentuan itu bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada esok, 11 November 2022.