Advertisements
West Ham Vs Chelsea: Penalti Atau Tidak?
EPL
MakanBola
Indy Sport

Semalam, perlawanan EPL membabitkan dua musuh setempat London iaitu Chelsea dan West Ham berakhir dengan keputusan seri 1-1. Tetapi satu insiden yang hangat diperkatakan ramai penyokong dan penganalisis bola sepak insiden Tomas Soucek menghalang bola dengan tangannya.

Babak pertama menyaksikan Chelsea terlebih dahulu membuka jaringan di Stadium London menerusi Joao Felix pada minit ke-16. Tetapi Hammers kembali menyamakan kedudukan menerusi Emerson Palmieri pada minit ke-28 dengan keputusan 1-1 mengakhiri separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memburu gol kemenangan. Dan ini membawa kepada insiden kontroversi bola yang disepak Conor Gallagher terkena tangan Soucek.

Walaupun sudah dirujuk kepada VAR, tiada cadangan kepada pengadil Craig Pawson untuk menyemak semula di monitor dan tiada penalti diberi kepada pasukan pelawat. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Jadi, tak hairanlah kenapa pengurus Blues, Graham Potter secara sinis memuji kecekapan Soucek. “Itu memang aksi menyelamat yang baik. Kadang-kadang anda perlukan penjaga gol anda untuk mendapatkan mata.

“Ia kelihatan salah satu daripadanya, jika (penalti) diberi, ia takkan diubah semula. Tapi sudah pasti ia tidak diberi.

“Ia nampak seperti bola terkena tangan dan seperti saya kata, saya tak tahu Tomas (Soucek) boleh jatuh dengan begitu mudah dan menyelamatkan bola sebegitu rupa. Itu memang satu hadangan yang baik daripada dia,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan.

Ketua pengadil PGMOL, Howard Webb kemudiannya mendedahkan Soucek berada pada kedudukan semulajadi di mana dia menggunakan tangan untuk menghalang dirinya daripada terjatuh. Justeru, jika bola terkena tangannya sekalipun, ia takkan dikira sebagai penalti.

Bagaimanapun, ia mengundang rasa tidak puas hati ramai penyokong dan penganalisis bola sepak. Bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton berpandangan itu sepatutnya dikira sebagai penalti.

Bekas pengadil EPL, Peter Walton turut bersetuju bahawa insiden Soucek sepatutnya membawa kepada penalti kepada pasukan pelawat.

“Undang-undang sangat jelas, VAR secara jelas fikir tangan berada pada kedudukan semulajadi dan dia (Soucek) cuba menghalang dirinya daripada jatuh.

“Tetapi jika anda melihatnya secara perlahan-lahan, anda dapat lihat bola melepasi lutut dan kemudiannya, tangannya di situ. Bagi saya, itu memang disengajakan dan saya kecewa VAR tidak memberi peluang kepada pengadil (Pawson) untuk pergi ke monitor dan melihat semula insiden berkenaan.

‘Saya fikir bola sepak, sebagai satu komuniti pastinya mahu ia dikira sebagai penalti. Sebagai bekas pengadil EPL, saya fikir ini satu keputusan yang salah,” katanya kepada BT Sport.

Chelsea selepas ini bakal menentang Southampton dalam perlawanan EPL seterusnya pada 18 Februari. Sementara West Ham pula bakal bertandang ke Stadium Tottenham Hotspur untuk satu lagi pertemuan setempat London dengan Tottenham.